PRESIDEN Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim mengesahkan Johor Darul Takzim (JDT) menerima suntikan dana tambahan sebanyak RM50 juta daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut kenyataan rasmi Johor Southern Tigers, Ismail mengumumkan perkara tersebut sekali gus menafikan laporan 'ada penaja individu yang ingin menaja JDT bagi menjelang musim Liga Malaysia baru'.

"Saya ingin menegaskan bahawa khabar angin terdapat penaja individu yang ingin memberi tajaan kepada kelab bola sepak JDT, adalah tidak benar kerana polisi kelab yang mahukan kerjasama penaja jangka masa panjang untuk pembangunan sukan bolasepak dan bukannya penaja yang mahukan publisiti.

"Satu lagi berita baik adalah DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berkenan untuk menyuntik dana tambahan sebanyak RM50 juta untuk mengukuhkan lagi kewangan kelab bola sepak Johor Darul Takzim," kata Ismail.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim Iskandar menyalurkan RM50 juta kepada JDT sebagai tanda terima kasih atas pencapaian skuad Harimau Selatan yang dkatakan menyatupadukan rakyat Johor.