JOHOR Darul Ta'zim (JDT) merekodkan kemenangan ke atas Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sementara KL City meneruskan rekod 11 perlawanan tanpa kalah dengan mengatasi Kedah Darul Aman FC 2-1 di Stadium KLFA, malam tadi.

JDT yang telah dinobat sebagai juara Liga Super buat kali kelapan terus mengutip tiga mata ketika bertandang ke Kuala Terengganu, kemenangan 1-0 buat skuad kendalian Benjamin Mora tercipta menerusi jaringan Shane Lowry dalam masa kecederaan separuh masa pertama.

Di Cheras, tiga jaringan terhasil dalam separuh masa pertama perlawanan antara KL City dan Kedah, skuad Warga Kota mendahului seawal minit keenam, percubaan Kamal Azizi Zabri terkena tangan Loqman Hakim Marzuki dan pengadil memberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Romel Morales.

KL menggandakan kelebihan 20 minit kemudian, gerakan J. Partiban daripada sayap kiri bijak melepasi Rizal Ghazali sebelum melepaskan hantaran silang yang berjaya disempurnakan oleh Safee Sali.

Kedah yang diibaratkan 'patah sayap' selepas dua pemain tonggaknya, Rabih Ataya dan Kpah Sherman, tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini susulan memiliki tugasan bersama skuad kebangsaan masing-masing, tanggungjawab besar diletakkan kepada Tchetche Kipre yang mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-36.

Bersambung dalam separuh masa kedua, Kedah terus melancarkan serangan demi serangan dalam usaha mendapatkan jaringan penyamaan, namun penjaga gol skuad kendalian Bojan Hodak, Kevin Ray Mendoza, menafikan percubaan pelawat sekaligus memastikan pasukannya mendahului permainan.

Kedah terus memburu jaringan namun mereka terus dihampakan dengan gaya permainan bertahan KL City yang ampuh bagi memastikan kemenangan diperoleh di laman sendiri.

Keputusan lain: 

PJ CITY 1 UiTM FC 0