IPOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin momentum pasukan hoki kebangsaan yang berjaya memenangi Piala Sultan Azlan Shah 2022 pada Khamis akan mampu diteruskan pada Piala Dunia tahun hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau berharap momentum positif skuad Speedy Tigers itu dapat terus melayakkan pasukan itu hingga ke pusingan akhir dalam kejohanan berprestij itu nanti.

“Momentum daripada pusingan kelayakan Piala Dunia sebelum ini dan saya berharap di pusingan akhirnya nanti kita dapat tempat (beri rekod) terbaik.

“Dan jika kita lihat pada persembahan semalam dengan skil yang ditunjukkan itu, tidak mustahil jika kita mampu merangkul kejuaraan dunia tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dekat sini pada Jumaat.

Pada majlis berkenaan, seramai 95 peserta bagi tahun ini menerima pentauliahan berkenaan yang dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).

Skuad hoki negara menamatkan kemarau kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah selama 39 tahun setelah berjaya menewaskan Korea Selatan 3-2 pada aksi akhir di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, pada Khamis.

Kejayaan ditunjukkan anak-anak buah Arul Selvaraj itu juga menebus kekecewaan skuad Malaysian Tigers yang tewas 1-2 kepada pasukan dari negara Korea Selatan itu pada perlawanan akhir Piala Asia di Jakarta, Jun lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata kejayaan skuad hoki itu telah berjaya membuka mata semua pihak untuk melihat potensi yang dipamerkan barisan pemain.

“Jadi ini satu pencapaian yang amat-amat membanggakan dan saya percaya pasukan ini akan pergi lebih jauh lagi.

“Maka tentunya saya ingin mengalu-alukan penajaan daripada pihak-pihak swasta untuk memberi perhatian kepada sukan hoki ini,” katanya lagi.