Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan peningkatan pembayaran insentif kepada kontingen negeri itu sebagai pengiktirafan kepada kemenangan kontingen itu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata peningkatan itu adalah daripada RM900,058 kepada RM1.1 juta.

Beliau menjelaskan insentif tambahan ini akan memberi pengiktirafan kepada pemenang pingat emas individu bernilai RM5,000 seorang manakala pemenang pingat emas acara berpasukan akan menerima insentif sebanyak RM2,000 ke RM3,000 seorang.

"Kerajaan negeri ingin merakamkan penghargaan dan syabas kepada atlit negeri Selangor yang telah berjaya membawa balik piala SUKMA ke bumi Selangor.

"Syabas dan tahniah kepada Datuk Mohamad Yasin Mohamad Salleh, ketua kontingen dan kontingen SUKMA Negeri Selangor di atas kejuaraan ini.

"Kerajaan Negeri amat menghargai kegigihan setiap atlit, jurulatih, pegawai sukan dan warga Majlis Sukan Negeri Selangor yang diketuai oleh Mohd Zubir Idrus, menjulang panji-panji negeri Selangor dengan penuh semangat kesukanan di Bumi Kenyalang (Sarawak).

"Saya juga ingin menyampaikan titah ucapan tahniah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk atlit-atlit negeri Selangor yang berjaya mengharumkan nama negeri Selangor dalam sukan negara."

Dalam SUKMA yang berakhir, Selangor telah dinobatkan sebagai juara selepas meraih 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa menjadikan jumlah keseluruhan, 195 pingat.

Pasukan renang Selangor pula merupakan penyumbang terbanyak kepada kontingen Selangor dengan meraih 20 pingat emas, 15 perak dan sembilan gangsa.