SUKAN
Kata-kata nasihat juara dunia Rousseau kuatkan mental Elvis

Elvis Priestly Clement (kanan) mendedahkan Rousseau menasihatinya supaya 'menikmati persembahan' ketika berdepan tekanan pada tahap tertinggi. - Instagram @cassielrousseau / Bernama
KUALA LUMPUR: Penerjun muda negara Elvis Priestly Clement menyifatkan kata-kata nasihat juara dunia acara platform 10 meter (m) lelaki Cassiel Rousseau dari Australia sebagai detik penting peningkatan aspek mentalnya bagi menghadapi saingan akan datang.
Elvis, yang membuat penampilan sulung pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura baru-baru ini, mendedahkan Rousseau menasihatinya supaya 'menikmati persembahan' ketika berdepan tekanan pada tahap tertinggi.
Atlet berusia 18 tahun itu berkata perbualan ringkas tetapi berharga bersama juara dunia dua kali itu berlaku pada waktu makan bersama penerjun negara lain pada kejohanan berkenaan.
"Kami tanya macam mana dia hadapi tekanan... sebab kami kurang (kuat) (aspek) mental sahaja sekarang. Teknik itu masih boleh belajar. Dia (Rousseau) beritahu hanya menikmati persembahan, itu sahaja."Saya perasan tahap keyakinan (selepas Kejohanan Akuatik Dunia 2025) semakin meningkat sebab dalam pertandingan sebelum ini memang saya gementar," katanya pada Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan Malaysia ke-60 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.
Terdahulu, Elvis meraih pingat emas dalam acara papan anjal 3m lelaki dengan kutipan 365.70 mata, mengatasi dua penerjun Kuala Lumpur iaitu Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim yang memperoleh perak (353.85 mata) manakala Yong Rui Jie membawa pulang gangsa (352.10 mata).
Walaupun pertama kali bersaing di pentas dunia, Elvis muncul penerjun terbaik Malaysia di Singapura.
Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 itu bukan sahaja layak ke separuh akhir acara platform 10m lelaki, malah bersama pasangannya Enrique Maccartney Harold mereka menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam acara platform seirama 10m lelaki iaitu pencapaian terbaik pernah direkodkan oleh gandingan negara pada kejohanan dunia.
Dalam pada itu, atlet kelahiran Sarawak berkenaan tetap berpuas hati dengan persembahannya meskipun terpaksa beraksi dengan kecederaan pinggang kiri yang dialami ketika latihan minggu lepas.
Elvis berkata beliau kini memberi tumpuan untuk bersaing pada Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India dari 1 hingga 15 Okt, sebelum membuat penampilan sulung pada Sukan SEA 2025 di Thailand, dari 9 hingga 20 Dis.
Sementara itu, penerjun negara Enrique membuktikan keunggulannya apabila meraih emas dalam acara platform lelaki dengan 377.20 mata, menewaskan atlet Olimpik Bertrand Rhodict Lises yang meraih perak (374.75 mata) manakala penerjun Sabah Muhd Anilrian Normatrud Abdullah melengkapkan kedudukan podium dengan gangsa (347.65 mata).
Bagi acara platform wanita, pemenang emas Sukan SEA 2023 Lee Yiat Qing muncul juara dengan 283.25 mata, manakala atlet Sarawak Nur Elisha Rania Muhammad Abrar Raj meraih perak (265.60 mata) dan rakan sepasukannya Nur Farisya Alia Affendi memenangi gangsa (231.25 mata).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami