SHAH ALAM: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membantu dan memberi sokongan yang diperlukan Malaysia American Football Association (MAFA) dalam membangunkan sukan flag football negara bagi persiapan untuk kelayakan di Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara, MAFA dan pihak berkaitan dalam sukan tersebut untuk merancang kaedah terbaik bagi mengangkat martabat sukan berkenaan.

Justeru katanya penganjuran Kejohanan Flag Football Asia-Ocenia yang bermula hari ini berupaya menjadi kayu pengukur buat KBS untuk merangka program bersesuaian selain menilai keperluan dan sokongan yang sepatutnya buat sukan itu.

"Jika kita bagunkan dengan baik dan beri setiap sokongan yang diperlukan, kita berpotensi untuk layak ke Sukan Olimpik 2028. Saya yakin MAFA dan rakan lain di Asia ini ada komuniti yang cukup sihat untuk sama-sama bangunkan serta KBS akan bantu dan sokong sebaiknya, Insya-Allah," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kejohanan Flag Footbal Asia-Oceania, di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden MAFA Mohd Shahmil Bahari berkata pihaknya yakin jika pasukan flag football negara diberi pendedahan secukupnya, kumpulan itu mampu melangkah lebih jauh dan kini turut merancang pelbagai program dalam mempergiatkan lagi pembangunan sukan tersebut di peringkat akar umbi.

"Berdasarkan kejohanan yang kami sertai sebelum ini, pasukan negara sering tembus ke pusingan akhir. Tidak mustahil dengan bantuan dari KBS, sukan ini mampu bergerak lebih tinggi," katanya.

"Kita perlu perbanyakan lagi aktiviti berkaitan (sukan tersebut) supaya lebih ramai tahu mengenai sukan ini dan lebih ramai atlet atau pelapis dapat kita lahirkan," katanya.

Kejohanan Flag Football Asia-Ocenia yang berlangsung hari ini sehingga Ahad itu disertai 11 negara antaranya Thailand, Australia, India dan New Zealand.

-- BERNAMA