KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat meneruskan penganjuran program 'skrin besar' pada masa akan datang bagi memberi akses tambahan kepada peminat tanah air menyaksikan acara sukan secara langsung.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata penganjuran program itu sempena dua aksi separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 baru-baru ini, melibatkan pasukan Harimau Malaya dan skuad Gajah Perang mendapat sambutan positif dengan lebih 150,000 pengunjung di 60 lokasi seluruh negara.

Menurut Yeoh, program berlangsung pada 7 Jan (Malaysia lawan Thailand) dihadiri 62,800 penonton di 17 lokasi tayangan pada aksi separuh akhir pertama, manakala 87,710 orang menyaksikan separuh akhir kedua (Thailand lawan Malaysia) pada 10 Jan di 43 lokasi, termasuk 18 universiti awam.

"KBS menganjurkan program itu (pada 7 Jan) berikutan 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan Malaysia lawan Thailand tidak dapat digunakan disebabkan isu tempahan antara perlawanan bola sepak dengan konsert Jay Chou.

"Kedua-dua program ini mempunyai jumlah peminat yang besar dan kepentingan kedua-dua pihak perlu dijaga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata KBS bertindak pantas mengambil inisiatif menganjurkan program yang memberi peluang kepada penyokong bola sepak negara menonton perlawanan tersebut secara langsung melalui skrin besar bersama komuniti setempat.

-- BERNAMA