MELAKA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyalurkan lebih banyak bantuan dan sokongan bagi memajukan lagi industri sukan sepak takraw di negara ini termasuk pasukan Melaka yang menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari 2024 baru-baru ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata bantuan dan sokongan itu antaranya meliputi program pembangunan bakat baharu sukan sepak takraw yang merupakan asas atau keperluan bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu pada masa hadapan.

"Saya telah pun menghubungi pihak pasukan sepak takraw Melaka untuk melihat bantuan atau keperluan yang boleh KBS bantu bagi memastikan pasukan itu terus ke hadapan.

"Selain sokongan jurulatih tempatan dan usaha pemain pasukan itu sendiri, faktor pembangunan bakat dan pasukan berkenaan yang bermain dari peringkat bawah menjadi pendorong utama dengan mengasah bakat baharu di peringkat belia," katanya kepada pemberita di Bukit Serindit di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 bersama Golden Age Care Centre yang turut dihadiri pengasas pusat jagaan itu Yeo Kwee Mong dan pengarah urusan pusat itu Ab Hamid Aji.

Adam Adli berkata pasukan sepak takraw Melaka juga dibenarkan menjalani latihan di semua fasiliti sukan di bawah KBS termasuk yang terletak di Ayer Keroh di sini sebagai persediaan menghadapi sebarang kejohanan.

Dalam pada itu beliau berkata kelab sukan sepak takraw lain yang ada di negara ini juga akan diberi tumpuan dalam memastikan pemain, jurulatih dan pasukan mendapat akses yang sepatutnya daripada pihak KBS pusat dan negeri.

Melaka muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari 2024 selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah pada 27 Jan lepas.

Kemenangan yang dibarisi enam pemain kebangsaan itu sekali gus menamatkan penantian 39 tahun Melaka untuk menjulang piala edisi ke-57 itu selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1985.

Terdahulu Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menyantuni dan menyampaikan sumbangan duit raya kepada warga Golden Age Care Centre sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

-- BERNAMA