ALOR SETAR: Terdapat beberapa tindakan telah diambil bagi meniup semangat pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk kembali di landasan kemenangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali.

Khamal Idris dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan tindakan berkenaan diambil susulan pelbagai maklum balas yang diterima pihaknya terhadap prestasi kurang memberangsangkan Skuad Sang Kenari kebelakangan ini.

Beliau berkata KDA FC sentiasa mendengar setiap suara yang dilontarkan namun pendekatan pengurusan KDA FC ketika ini adalah menilai secara rasional sebelum mengambil tindakan drastik agar tidak mengganggu momentum pasukan dalam menghadapi Piala AFC, Selasa ini.

Menurutnya KDA FC telah mengambil tindakan sewajarnya di fasa pertama penilaian prestasi sekitar Jun lepas dengan melakukan perubahan yang sesuai selepas bedah siasat dilakukan antaranya membawa masuk pemain pertahanan Mohamad Akmal Md Zahir serta dua pemain import tengah, Sanrawat Dechtmir dan Mahmoud Al-Mardi.

"Hasil daripada penilaian ketika itu dan tindakan yang diambil telah memberi sesuatu yang positif iaitu KDA FC beraksi cemerlang di pentas Asia dengan menjuarai Kumpulan G seterusnya layak ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2022.

"Proses dan tindakan yang diambil membuahkan hasil. Proses penilaian fasa kedua pasca-Piala AFC kali ini akan melalui proses yang sama melalui pendekatan tindakan susulan yang lebih sesuai pendekatannya," katanya.

Khamal Idris berkata melalui penilaian semasa, prestasi naik dan turun pasukan adalah disebabkan beberapa faktor antaranya transisi barisan pemain utama, kecederaan pemain import dan pemain tempatan utama, faktor kesihatan pemain, jadual padat serta pertukaran senarai pemain yang terhad yang menyumbang kepada keputusan tidak konsisten.

Beliau berkata penilaian prestasi pasukan bukan hanya melalui keputusan jaringan semata-mata tetapi ia dilakukan mengambil kira data saintifik yang disediakan juruanalisis, laporan prestasi pemain oleh barisan kejurulatihan serta langkah-langkah yang telah diambil.

Mengenai isu kebajikan pemain, Khamal Idris berkata pihak pengurusan sentiasa meletakkan kebajikan pemain sebagai keutamaan dan tiada isu gaji tertunggak seperti yang ditularkan menerusi laman media sosial.

Menurutnya walaupun KDA FC dalam transisi pengurusan kewangan tanpa kebergantungan penuh kepada kerajaan negeri, setakat ini KDA FC masih mampu menampung tanggungjawab dan kebajikan kepada pasukan.

"KDA FC juga positif dan amat berterima kasih dengan pelbagai maklum balas, keluhan dan rintihan kekecewaan semua pihak mengenai prestasi Sang Kenari kebelakangan ini. Ini merupakan petanda positif Sang Kenari sentiasa dekat di hati penyokong," katanya.

-- BERNAMA