LIVERPOOL terselamat daripada dikejutkan Crystal Palace selepas berjaya bertahan untuk menang 4-3 ke atas pasukan ‘giant killer’ itu.

Kemenangan tersebut memastikan Liverpool kekalkan rekod tanpa kalah di Anfield dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim ini dengan 10 menang dan satu seri.

Beraksi di tempat sendiri, Liverpool menguasai permainan sejak sepak mula sebelum dikejutkan pada minit ke-34 apabila Andros Townsend meledak gol pertama hasil satu serangan balas.



Liverpool berjaya menyamakan kedudukan kurang seminit selepas permainan bersambung di babak kedua, menerusi jaringan Mohamed Salah sebelum Roberto Firmino meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-53.

Disebalik penguasaan Liverpool, pasukan pelawat menyamakan kedudukan apabila James Tomkins yang tidak dikawal, menanduk masuk sepakan sudut, Luka Milivojevic pada minit ke-65.

Barisan pertahanan yang berdisiplin menyukarkan barisan serangan Liverpool untuk mengugat gawang Palace sehinggalah James Milner memaksa penjaga gol, Julian Speroni melakukan kesilapan yang dihukum Salah untuk menjadikan kedudukan 3-2 buat tuan rumah.

Milner bagaimanapun dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-89 selepas mengasari Wilfried Zaha.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Sadio Mane berjaya menjaringkan gol keempat Liverpool, tiga minit dalam masa kecederaan.

Palace sempat mendapatkan gol ketiga seminit selepas itu menerusi Max Meyer namun masa tidak mengizinkan Palace untuk mendapatkan gol penyamaan.

Kemenangan 4-3 Liverpool di Anfield adalah yang ketujuh berturut-turut buat Liverpool yang terus mendahului carta EPL dengan 60 mata, tujuh mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City.

Palace merupakan pasukan pertama yang mengalahkan City musim ini sebelum Leicester City mengalahkan juara bertahan itu pada Disember tahun lepas.

City akan bertandang ke Stadium John Smith pada Ahad untuk bertemu dengan Huddersfield.