Kedah mempunyai hajat besar untuk tebus dua kekalahan dengan Kelantan sebelum ini apabila bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru bagi aksi Liga Super, Sabtu ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe sudah pasti mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan sebelum ini malah mahu bermula dengan langkah kanan biarpun Kelantan mempunyai kelebihan bermain di gelanggang keramat mereka.

Kemenangan 4-2 ke atas Kuala Lumpur pada pusingan kedua Piala FA di sini semalam bakal mencetus inspirasi dan keyakinan kepada anak buah Cheng Hoe untuk melakarkan kejutan di tempat lawan.

Jurulatih itu mengakui beliau kini dalam misi mengutip tiga mata penuh dalam pertemuan dengan Kelantan serta yakin dengan prestasi anak buahnya bagi menggalas tanggungjawab itu.

"Kita ingin mencipta kemenangan di Kelantan dan kita ada dua tiga hari lagi untuk membuat persiapan kerana kita tahu dalam dua perlawanan sebelum ini Kelantan mendapat kemenangan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kedah kini mengungguli persada liga dengan lapan mata selepas empat perlawanan manakala Kelantan menang dua perlawanan yang dilaluinya setakat ini dengan mengumpul enam mata.

Cheng Hoe mengakui Kelantan bukan calang-calang pasukan selepas memiliki rekod tanpa kalah dengan mengatasi PKNS FC 3-1 dan Felda United 2-1 dalam saingan awal musim ini.

Beliau berkata kemungkinan pemain tengah, Shazwan Zainol tidak dapat diturunkan pada perlawanan menentang Kelantan kerana beliau belum pulih daripada kecederaan.

Walaupun tidak menurunkan Shazwan semalam namun Muhammad Farhan Roslan membalas kepercayaan yang diberikan oleh Cheng Hoe dengan melakukan dua jaringan terhadap Kuala Lumpur untuk membantu Kedah mara ke pusingan ketiga saingan Piala FA.

"Saya mahu pemain belajar daripada kesilapan pada tiap-tiap perlawanan dan berharap mereka dapat mengekalkan rentak kemenangan hingga penghujung liga," katanya.

-- BERNAMA