Skip to main content

Sukan

Aaron-Kai Wun sasar cipta kejutan, intai pingat pada Sukan Asia 2026

HORSENS (Denmark), April 29 - Malaysia men's doubles pair Aaron Chia and Tee Kai Win action against Kakeru Kumagai and Hiroki Nishi of Japan in their Group B match of the BWF Thomas & Uber Cup Finals 2026 at Forum Horsens, today.Aaron Chia and Tee Kai Wun won 16-21, 21-14, 21-19. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Aaron Chia dan Tee Kai Win (gambar) ketika beraksi pada perlawanan Kumpulan B Pusingan Akhir Piala Thomas & Uber BWF 2026 di Forum Horsens, 29 Apr 2026. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemain badminton beregu lelaki negara Aaron Chia berharap kombinasi bersama-sama pasangan pecah ganding Tee Kai Wun mampu mencipta kejutan dengan sekurang-kurangnya menghadiahkan pingat buat Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

Aaron berkata sebagai pasangan baharu, mereka tidak dibebani tekanan tinggi, sekali gus boleh beraksi dengan lebih tenang pada temasya empat tahun sekali itu.

Selain itu, pemain berusia 29 tahun berkenaan berkata ia turut memberi kelebihan kerana lawan dijangka sukar membaca corak permainan mereka.

“Kami hadir sebagai pasangan pecah ganding dan bukan pilihan utama. Jadi, kami boleh bermain dengan lebih tenang dan berharap mampu mencipta kejutan di sana.

“Paling penting, kami akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan, sama ada acara berpasukan atau individu. Kami berharap dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat untuk Malaysia,” katanya selepas sesi latihan di sini hari ini.

Pada Julai lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan Aaron akan bergandingan dengan Kai Wun manakala pasangan asalnya Soh Wooi Yik tidak disenaraikan ke Sukan Asia 2026.

Aaron dan Wooi Yik sebelum ini pernah memenangi gangsa beregu lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 di China.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas beregu lelaki pada Sukan Asia adalah pada edisi 2006 di Doha menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Aaron mengakui persaingan beregu lelaki di Aichi-Nagoya dijangka sengit dengan kehadiran pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae dan juara dunia 2026 Liang Wei Keng-Wang Chang dari China.

Selain Aaron-Kai Wun, beregu profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga akan membawa cabaran negara dalam acara beregu lelaki.

Keempat-empat mereka juga disenaraikan dalam acara berpasukan lelaki bersama-sama Leong Jun Hao, Justin Hoh, Eogene Ewe, Kong Wei Xiang, Chen Tang Jie dan Goh Soon Huat.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadualkan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement