Kedah menang tipis 2-1 ke atas KL SPA Putrajaya dalam saingan liga perdana di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah, malam tadi.

Ini merupakan kemenangan keempat Kedah berturut-turut dalam penghujung saingan Liga Perdana yang berbaki beberapa perlawanan lagi.

Kedah menguasai permainan pada separuh masa pertama dengan serangan bertali arus sehingga mencemaskan gawang gol KL SPA dalam beberapa percubaan menarik.

Walaupun pada mulanya pasukan pelawat itu mampu bertahan namun pada minit ke-26, pasukan itu tewas jua apabila tandukan pemain import, Alen Gud membolehkan Kedah mendahului 1-0.

Separuh masa kedua, Kedah dan KL SPA mengandakan usaha, masing-masing kedua-dua pasukan saling serang menyerang.

Namun akhirnya Kedah lebih bernasib baik apabila dihadiahkan tendangan penalti pada minit ke-54 dan disempurmnakan oleh Nelson San Martin.

Selepas itu KL SPA lebih banyak menguasai perlawanan, terutama pada minit-minit terakhir, sehingga dapat juga mencetuskan gol pada minit ke-85 yang dijaringkan oleh Khairol Azry.

Kl SPA terus bermain bermatian-matian untuk menyamakan kedudukan, namun pertahan Kedah tetap utuh sehingga tamat perlawanan Kedah 2 KL SPA 1.