SUKAN
Kejohanan Dunia Ironman: Vincent, Syed Saddiq galas cabaran negara

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (tengah) hadir pada Majlis Pelepasan dua wakil negara ke Kejohanan Dunia Ironman 2025 di ibu negara hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Tokoh berpengaruh dalam pembangunan hartanah Datuk Seri Dr Vincent Tiew menyifatkan penglibatannya pada kejohanan Ironman sebagai cerminan kepada disiplin serta strategi yang diperlukan dalam menerajui sesebuah organisasi.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Dr Vincent Tiew, tokoh hartanah dan Pengarah Eksekutif KL Wellness City, menyertai Kejohanan Dunia Ironman 2025 di Nice, Perancis, mengaitkan sukan triatlon dengan disiplin dan strategi dalam kepimpinan korporat.
- Vincent mula menceburi triatlon semasa PKP 2022 dan mengakui ia membentuk ketahanan mental, fokus, serta gaya hidup lebih sihat dan terkawal.
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, turut mewakili Malaysia, berlatih 16-17 jam seminggu dan menyatakan sukan ini meningkatkan disiplin, kejelasan berfikir, serta pengurusan tekanan hidup.
Menurut Vincent, pendekatan itu selari dengan bidang perniagaan dan korporat yang turut memerlukan ketahanan minda serta fokus berterusan bagi mencapai kejayaan.
"Jadi, saya rasa sukan triatlon sangat sesuai untuk saya kerana perangai, sikap dan juga pembentukan peribadi saya adalah jenis yang buat banyak perancangan dan disiplin setiap hari, itu sangat penting," katanya kepada Bernama pada Majlis Pelepasan dua wakil negara ke Kejohanan Dunia Ironman 2025 di sini hari ini.
Pada masa sama, Vincent yang juga Pengarah Eksekutif KL Wellness City berkata penglibatan dalam sukan itu turut membentuk perubahan peribadi yang positif apabila beliau kini lebih terkawal dari segi emosi, gaya hidup dan pemakanan berbanding sebelum ini.
Selain Vincent, turut menggalas cabaran negara pada kejohanan berprestij itu adalah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq berkata beliau meluangkan kira-kira 16 hingga 17 jam seminggu untuk latihan dengan purata dua setengah jam setiap hari termasuk rutin bangun seawal 5 pagi untuk berlari, berbasikal atau berenang.
Beliau juga menggabungkan elemen kecergasan dalam kehidupan harian, antaranya mengadakan mesyuarat dalam talian sambil melakukan latihan berbasikal dalaman, membaca surat khabar sambil melakukan aktiviti separa cangkung dan mendengar audio siar ketika berlari.
"Perubahan paling ketara selepas aktif ialah keupayaan saya berfikir dengan jelas lebih baik, saya lebih berdisiplin, bangun awal, tidur awal, tidak bazirkan masa dan saya boleh hadapi tekanan hidup dengan lebih baik.
"Ada yang bila diuji, jadi kuat makan atau berfoya-foya tapi bagi saya bersenam dan bersukan untuk hilangkan stres. Jadi, ia perubahan hidup yang sangat besar," kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu, yang berazam menamatkan saingan dengan membawa Jalur Gemilang ke garisan penamat selain melakukan masa sekitar 13 jam, berbanding had masa 17 jam.
Turut hadir pada majlis hari ini adalah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami