JESSE Lingard menganggap kekalahan 1-0 Manchester United kepada Chelsea dalam final Piala FA sebagai kekecewaan terburuk yang pernah dialaminya dalam bola sepak.

Lingard adalah penjaring gol kemenangan ketika Manchester United bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan Crystal Palace 2-1 dalam final pada 2016, iaitu perlawanan terakhir di bawah bimbingan Louis van Gaal.

Bagaimanapun, persembahan awal pagi semalam menyaksikan Chelsea membuat perbezaan menerusi sepakan penalti Eden Hazard dalam separuh masa pertama untuk membuatkan United tanpa trofi musim ini.

Tumpuan Lingard kini beralih kepada Piala Dunia bersama skuad England, tetapi pemain tengah itu perlu pulih daripada kekecewaan di Wembley itu.

"Tidak tahu apa yang harus dikatakan, ia perasaan terburuk yang saya rasakan dalam bola sepak sehingga kini," tulis Lingard dalam Instagram. "Kami tidak sepatutnya kalah tetapi itulah bola sepak.

"Peminat sangat mengagumkan sepanjang musim, kami ada turun naik, dan saya hanya boleh mengucapkan terima kasih.

"Peralihan tumpuan kepada Piala Dunia sangat dinanti-nantikan. Jadi, saya tidak sabar untuk bertemu dengan pasukan dan melakukan yang terbaik dalam kejohanan itu."