Ramalan Keputusan:

JDT 3 - 0 Kelantan FC

Terengganu 1 - 0 PDRM FC

Negeri Sembilan FC 1 - 2 KL City


JOHOR Darul Takzim (JDT) dijangka meneruskan rentak cemerlangnya dengan melayan kunjungan Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Segar daripada kemenangan 7-0 ke atas Negeri Sembilan, anak-anak buah Esteban Solari pastinya mahu melakar kemenangan dengan jumlah jaringan yang besar bertemu Kelantan FC.

Ketika ini, sukar untuk melihat pasukan yang mampu mengekang kemaraan JDT untuk terus mendominasi Liga Malaysia.

Arif Aiman, Forestieri, Bergson dan bintang baharu JDT seperti Enrick pastinya menyukarkan pasukan lawan.

Selepas dua kekalahan dalam dua perlawanan pertama, Kelantan FC akhirnya berjaya merekodkan kemenangan ketika menentang Penang FC minggu lalu.

Dari segi corak permainan, sudah menampakkan keserasian dalam kalangan anak-anak buah Choi Moon-sik, namun berdepan JDT, lawannya adalah berbeza.

Selepas apa ditonjolkan JDT dalam tiga perlawanan, 12 gol dijaringkan, tanpa sebarang gol dilepaskan, sukar untuk melihat peluang Kelantan FC pada perlawanan ini.

Dalam satu lagi aksi, Terengganu terus memburu kemenangan pertama musim ini dengan melayan kunjungan PDRM FC.

Selepas tewas dua dan seri satu dalam tiga perlawanan, Terengganu sudah tentu mahu bangkit dan mempamerkan karakter sebagai pasukan pencabar liga.

Pemain seperti Sony Norde, Adisak Kraisorn, Pusic, Liridon Krasniqi dan Faiz Nasir dilihat mampu memacu kebangkitan Terengganu, namun perlu diberi sedikit masa untuk keserasian.

PDRM FC pula masih segar dengan kemenangan mengejut ke atas pasukan pencabar liga, Kedah Darul Aman (KDA) FC minggu lalu.

Ketika tiada siapa menjangkakan PDRM mampu mencuri tiga mata daripada Kedah, pasukan bimbingan Azzmi Aziz melakukan sebaliknya.

Mungkinkah PDRM boleh melakukan satu lagi kejutan dengan kali ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin? Tiada yang mustahil.

Satu lagi perlawanan tumpuan malam ini ialah pertemuan antara Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City.

Kedua-dua pasukan masih mencari kemenangan pertama musim ini.

Negeri Sembilan, selepas dibelasah 0-7 oleh JDT, sudah tentu mahu bangkit. Namun lawan anak-anak buah K. Devan bukannya mudah.

KL City mempamerkan permainan memberangsangkan ketika seri menentang Terengganu minggu lalu, dan memberi gambaran anak-anak buah Bojan Hodak sedia untuk bangkit daripada permulaan hambar musim ini.

Perlawanan yang dijangka sengit.

Saksikan siaran langsung perlawanan antara JDT vs Kelantan FC di saluran 803 Astro ARENA BOLA pada jam 5.30 petang ini.

Perlawanan antara Terengganu FC vs PDRM FC juga boleh ditonton di saluran 803 Astro ARENA BOLA manakala Negeri Sembilan FC vs KL City di saluran 804 Astro ARENA BOLA 2 pada jam 9 malam ini.




* Syukri Shaari merupakan penerbit Astro AWANI yang memberikan ulasan tentang Liga Bola Sepak Malaysia menerusi slot 'Volley Bersama SuperSyuk'.