LUXEMBOURG 0 PORTUGAL 6

Roberto Martinez menyanjungi pengalaman dimiliki Cristiano Ronaldo selepas pemain berusia 38 tahun itu terus mempamerkan bisanya dengan dua jaringan ketika Portugal membelasah Luxembourg 6-0, sebentar tadi.

Ronaldo menyusuli dua golnya ke atas Liechtenstein, Jumaat lalu, dan mengekalkan prestasi memberangsangkannya di Stade de Luxembourg ketika Portugal mencatatkan kemenangan kedua kempen kelayakan Euro 2024 itu.

Joao Felix, Bernardo Silva, Otavio dan Rafael Leao turut meledak gol dan pengendali kelahiran Sepanyol itu pantas memuji peranan Ronaldo.

“Cristiano mempunyai pengalaman antarabangsa yang luar biasa, mungkin unik kerana dia satu-satunya pemain di dunia dengan 198 penampilan ,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam masa sama, bekas ketua jurulatih Belgium itu nyata lebih gembira dengan satu lagi rekod bersih berbanding mutu persembahan serangan anak buahnya sambil turut memuji pertahanan tengah berusia 19 tahun, Antonio Silva, yang menggantikan tempat Goncalo Inacio ketika membelasah Liechtenstein.

“Saya lebih menghargai kami tidak ditembusi berbanding enam gol yang direkodkan.

"Kami memenangi sepakan penalti dan menonjolkan corak serangan yang hebat di Luxembourg ini,” katanya.

"Perlawanan ini bukan mudah. Apa yang penting dalam kedua-dua perlawanan adalah kerja keras dan ketekalan.

"Ia bukan sekadar menukar beberapa pemain. Terdapat banyak pilihan lagi, ia lebih kepada perubahan disebabkan oleh tuntutan fizikal. Adalah penting untuk melihat Goncalo Inacio dapat beraksi dengan baik dalam perlawanan pertama (Liechtenstein) sebagai pemain muda.

"Tiga hari selepas perlawanan, ia juga penting baginya untuk berehat.

“Adalah penting untuk melihat Antonio Silva mampu menggalas posisi yang sangat penting, mendapatkan bola dan mengekang serangan Luxembourg.

"Bagus dapat melihat Antonio Silva bergandingan di samping tonggak berpengalaman pengalaman seperti Ruben Dias dan Danilo Pereira.

"Rui Patricio juga beraksi dengan sangat baik, jadi pasukan ini sangat mantap daripada aspek bertahan dalam perlawanan ini." - Stadium Astro