UKRAINE akan terus beraksi dalam kempen Kelayakan Euro 2024 meskipun sebelum ini dilarang daripada menyertai sebarang kejohanan yang membabitkan penyertaan wakil dari Rusia dan Belarus.

Ketua Persatuan Bola Sepak Ukraine (FFU), Andriy Pavelko memaklumkan, mereka telah mendapat 'lampu hijau' untuk beraksi dalam kempen Kelayakan Euro 2024 yang menyaksikan Belarus turut mengambil bahagian.

"Pasukan kebangsaan Ukraine akan meneruskan aksi Kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2024," tulisnya di laman sosial rasmi Facebook FFU pada Isnin.

Terdahulu, kerajaan Ukraine mengenakan larangan berkenaan apabila Moscow menceroboh Ukraine dan Belarus dijadikan sebagai 'tempat persinggahan' atas tindakan pencerobohan itu.

Pada kempen Kelayakan Euro 2024, Ukraine berada dalam Kumpulan C yang turut disertai England, Itali, Macedonia Utara dan Malta.

Belarus pula berada dalam Kumpulan I bersama-sama Israel, Andorra, Kosovo, Romania dan Switzerland.

Dalam aksi pembukaan, Ukraine tewas 0-2 kepada England yang mendahului carta Kumpulan C dengan enam mata selepas dua perlawanan.

Ukraine yang berada di tangga keempat selepas baru mengharungi satu perlawanan dijadualkan menentang Macedonia Utara pada 16 Jun ini. - Sinar Harian