SPORTS
Kelayakan Piala Asia: Kami ingin buktikan kami mampu hadapi siapa sahaja - Cklamovski

Cklamovski masih berteka-teki tentang barisan pemain utama yang akan dipilih menghadapi Vietnam di saingan Kelayakan Piala Asia 10 Jun ini. - Stadium Astro
KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, masih lagi berteka-teki tentang barisan pemain utama yang akan dipilih menghadapi Vietnam di saingan Kelayakan Piala Asia pada 10 Jun.
Ringkasan AI
- Peter Cklamovski masih belum menentukan barisan utama dan akan membuat keputusan selepas dua perlawanan persahabatan menentang Cape Verde pada 29 Mei dan 3 Jun.
- Jurulatih menekankan kepentingan mengekalkan identiti permainan dan memastikan pemain bersedia menghadapi cabaran tanpa mengira lawan.
- Malaysia berusaha menamatkan rekod buruk menentang Vietnam, setelah tewas dalam lima pertemuan terakhir, dengan persiapan rapi termasuk kem latihan pusat dan perlawanan persahabatan.
Peter menyifatkan barisan terbaik hanya akan diketahui selepas dua perlawanan itu berlangsung untuk dia membuat tapisan terakhir sebelum misi membenam Vietnam bermula.
"Perlawanan menentang Vietnam masih lagi jauh, perkara paling penting dalam bola sepak adalah perlawanan yang akan dihadapi selepas ini.
"Kita perlu hormati semua pasukan yang kita bakal hadapi dan itu apa yang kami akan lakukan untuk malam esok," kata Peter.
Dalam pada itu, Peter juga ingin melihat anak buahnya kekal dengan identiti bola sepak yang cuba dibawanya sejak hari pertama dan berharap tiada perubahan dari segi permainan tidak kira pasukan yang dihadapi.
"Kami ingin terapkan mentaliti untuk pemain kekalkan identiti permainan bola sepak kami, tidak kira siapa pun yang kami hadapi.
"Dalam masa sama ingin tonjolkan kepada semua bahawa 11 pemain di atas padang yang bermain untuk Malaysia mampu lawan sesiapa sahaja," katanya pada sidang media di sini hari ini. -- Stadium Astro
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami