KETUA jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi memaklumkan bahawa ketua pasukan, Matt Davies dan Junior Eldstald tidak akan menyertai skuad Harimau Malaya ke Oman bagi aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jumaat ini.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemain berkenaan tidak mendaftarkan diri selepas JDT menerusi surat rasmi memaklumkan bahawa mereka mengalami kecederaan semasa perlawanan latihan pada 14 Mac lalu.

"Justeru, JDT memohon pengecualian buat kedua-dua pemain berkenaan untuk melapor diri bersama skuad kebangsaan dan akan menjalani rawatan pemulihan selanjutnya bersama kelab itu. Laporan kecederaan dilampirkan dalam surat tersebut.

"Dengan ketiadaan Matthew dan Junior, Harimau Malaya kini mempunyai 31 pemain dalam kem latihan.

"Daripada 31 pemain tersebut, seramai tujuh pemain telah dilepaskan ke skuad B-23 kebangsaan kendalian Juan Torres Garrido, yang akan memulakan kem latihan pusat mereka pada Ahad, 17 Mac 2024, bagi persiapan menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar, bulan depan," kata kenyataan itu.

Ia bermakna, hanya 24 pemain akan dibawa ke Muscat, Oman hari ini bagi menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex awal pagi Jumaat ini. - Stadium Astro