KETIADAAN kelibat Kylian Mbappe terus mencuri tumpuan di sebalik jaringan berganda Lionel Messi selain persembahan mantap Neymar yang mencipta empat umpanan gol ketika membantu Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Clermont Foot 5-0, awal pagi tadi.

Pengurus PSG, Christophe Galtier, mengesahkan ketiadaan penyerang dalam aksi pembukaan Ligue 1 itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan penyerang Perancis berkenaan dijangka kembali minggu depan.

Mbappe dipinggirkan dalam perlawanan pertama mereka untuk misi mempertahankan kejuaraan, kurang seminggu selepas tersisih dalam kemenangan Trophee des Champions ke atas Nantes.

Begitupun, bercakap dengan Canal+ selepas perlawanan, Galtier meredakan kebimbangan terhadap pemain berusia 23 tahun itu yang mungkin terpaksa berehat panjang.

Bekas pengendali Lille itu sebaliknya mengakui ayam tambatannya tersebut sedia dipertaruhkan andai ia melibatkan perlawanan getir.

Ditanya sama ada Mbappe mungkin kembali hujung minggu depan, Galtier berkata: "Ya, saya rasa begitu. Dia mempunyai sedikit masalah dan kami tidak mahu mengambil sebarang risiko.

“Jelas sekali, jika kami berdepan perlawanan sukar atau perlawanan Liga Juara-Juara (UCL), Kylian mungkin akan mengambil bahagian.

"Kami lebih suka menangguhkan kepulangannya dan dia pasti akan bersama kami, saya fikir ketika menentang Montpellier."

PSG akan bermain di tempat sendiri buat pertama kalinya musim ini ketika bertemu Montpellier hujung minggu depan untuk mengintai kemenangan kompetitif ketiga di bawah pengurus baru itu. -- Stadium Astro