Program khidmat masyarakat Astro Kasih sekali lagi meneruskan misi pencarian bakat badminton baru menerusi Program Kem Badminton Astro, (KBA).

Tahun ini, KBA sudah menjelajah enam lokasi di seluruh Malaysia, dan buat julung kalinya ia melangkah ke negara jiran apabila berkunjung ke Surabaya, Indonesia.

Penganjuran KBA adalah untuk meningkatkan kemahiran pemain muda berumur 10 hingga 12 tahun, melalui program latihan profesional.

Ia diketuai bekas-bekas pemain badminton negara, Wong Choong Hann, Chew Choong Eng, Lee Wan Wah Dan Chan Chong Ming.

Duta Astro, Datuk Lee Chong Wei turut hadir memberikan tunjuk ajar dan kata-kata semangat dalam latihan kem ini.


"KBA bagus untuk sukan badminton dan melalui kem ini kita boleh mencari lebih banyak pemain-pemain badminton yang berpotensi dan bertaraf dunia,"katanya ketika ditemui di Kompleks sukan Majlis Sukan Negara (MSN) di sini pada petang tadi.

29 peserta dipilih untuk menjalani sesi pra-latihan berpusat di Kompleks Sukan MSN, sebelum bertolak ke Tokyo, Jepun pada 20 November untuk program latihan lanjutan intensif luar negara.

KBA merupakan kolaborasi antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dan Nippon Badminton Association Jepun.

Sejak 2012, penyertaan di KBA sudah mencapai angka lebih 9,300 kanak-kanak berbakat.