GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan berharap Kelantan yang akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2028, akan memanfaatkan peruntukan RM276 juta untuk membina tujuh fasiliti sukan bagi temasya itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan juga mahu peruntukan itu digunakan bagi membantu negeri membina kemudahan sukan bersesuaian dengan acara sukan yang dipertandingkan di Sukma.

"Kerajaan mahu sukan menjadi elemen yang mewujudkan integrasi dalam kalangan rakyat biarpun berbeza warna politik.

"Untuk itu, Kelantan memang mempunyai bakat kesukanan yang tinggi tetapi harus digilap dengan kemudahan serta kejurulatihan," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Hari Sukan Nasional peringkat negeri di Taman Etnobotani di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Parti Kerajaan Perpaduan MADANI Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan mempertimbangkan membuat permohonan untuk sebuah Kompleks Sukan di Gua Musang bagi tujuan itu.

"Saya akan berbincang dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Beliau dan Sukan serta dan Kementerian Kewangan.

"Saya akan umumkan keputusan ini kemungkinan besar tahun ini atau tahun depan," katanya.

Beliau berkata sambutan Hari Sukan Negara hari ini, bukan sahaja disambut di Malaysia tetapi di semua pejabat Suruhanjaya Tinggi dan Kedutaan Malaysia di negara lain.

-- BERNAMA