SEPANG: Atlet memanah recurve negara Khairul Anuar Mohamad tekad menjadikan pentas Sukan Asia Hangzhou 2022 sebagai medan kebangkitannya, selepas mengharungi pelbagai episod sukar apabila digugurkan daripada Program Podium tahun lepas.

Beliau mengakui menghadapi kesukaran dari segi persediaan kerana perlu menguruskan kewangan dan menjalani latihan sendiri menjelang temasya empat tahun sekali itu.

"Alhamdulillah NAAM (Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia) juga ada bantu dengan beri sedikit elaun selepas digugurkan daripada Program Podium selain diberi peluang menjalani kem latihan terakhir selama tiga minggu bersama skuad kebangsaan baru-baru ini," katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Hangzhou, hari ini.

Selain bantuan elaun daripada NAAM, Khairul Anuar mendedahkan bahawa beliau juga berkhidmat sebagai jurulatih separuh masa di beberapa kelab memanah sekitar Kuala Lumpur dalam usaha menampung kos latihannya.

Justeru, Olimpian negara itu mengharapkan agar kerja kerasnya membuahkan hasil dengan membantu kem memanah negara menghadiahkan sekurang-kurangnya satu pingat pada penampilan ketiganya di Sukan Asia selepas edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan dan edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

"Saya memang nak letakkan Malaysia di persada dunia. Tak kisah biarpun digugurkan (Program Podium) sekalipun, saya tetap bersemangat naikkan semula sukan memanah kita," katanya.

Pemanah berusia 32 tahun itu akan beraksi dalam acara recurve individu lelaki sebelum layak bersaing dalam acara berpasukan lelaki serta berpasukan campuran.

"Saya serta tiga lagi pemanah negara akan beraksi di peringkat kelayakan untuk tentukan ranking. Pemanah terbaik dari setiap negara layak beraksi dalam acara berpasukan campuran, dua terbaik pula layak ke acara individu dan tiga terbaik boleh beraksi dalam acara berpasukan lelaki," katanya.

Selain itu, atlet kelahiran Kemaman, Terengganu itu berkata kebangkitan di Hangzhou juga akan menjadi platform untuk beliau membina momentum bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat kali keempat berturut-turut selepas London 2012, Rio de Janeiro 2016 dan Tokyo 2020.

Khairul Anuar digugurkan daripada Program Podium selepas Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam susulan kemerosotan prestasi pada temasya dwitahunan itu apabila sekadar meraih perak acara bercampuran bersama Syaqiera Mashayikh selain merangkul dua gangsa dalam acara individu serta acara berpasukan lelaki bersama Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan Bryson Ting.

Acara memanah di Sukan Asia Hangzhou 2022 akan bermula pada 1 hingga 7 Okt ini di Pusat Sukan Fuyang Yinhu.

-- BERNAMA