ALOR SETAR: Lembaga Pengarah Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) hari ini mengumumkan Khamal Idris Ali telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC setelah empat tahun menabur bakti bersama kelab itu.

KDA FC dalam kenyataan memaklumkan, peletakan jawatan itu bagi membolehkan Khamal Idris memberi tumpuan pada perniagaannya, selain untuk memberi peluang kepada individu berkelayakan dan berkemampuan mengemudi kelab berkenaan.

"Kami dari keluarga besar KDA FC ingin melafazkan ucapan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang ditaburkan selama ini.

"Selamat maju jaya dalam urusan yang dijalankan, jasa anda bersama KDA FC tidak akan kami lupakan, terima kasih," menurut kenyataan di Facebook Kedah Darul Aman FC hari ini.

Sejak dilantik pada Ogos 2022, KDA FC berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022 dan menamatkan saingan di kedudukan keempat dan kelapan Liga Super masing-masing pada edisi 2022 dan 2023.

Antara inisiatif Khamal Idris ialah mewujudkan Pejabat Pengurusan KDA FC di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), dan menjalinkan kerjasama strategik bersama Universitii Teknologi MARA (UiTM Perlis) meliputi bidang kejuruteraan, perubatan, sains sukan, pemasaran dan bidang psikologi.

Beliau juga mewujudkan kerjasama Kota Setar Kid FC dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman bagi mencari bakat muda dan mengetuai kerjasama serta proses pelesenan kelab yang telah memberikan KDA FC lesen untuk bertanding di Liga-M dan Piala AFC selama tiga tahun berturut-turut.

-- BERNAMA