Beliau berkata perubahan pemain penting dalam mengekang jentera serangan berbahaya skuad 'Gajah Perang' itu yang turut diperkuatkan pemain terbaik Piala AFF Suzuki 2014, Chanatip Songkrasin yang mendapat jolokan 'Messi Jay' kerana memiliki pergerakan lincah.

"...yang mustahak di sini, kita harus berwaspada dengan setiap gerakan mereka (Thailand) dan pada masa sama, kita perlu tahu, kita perlu menang," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad B-23 negara di Padang Politeknik Nanyang, hari ini.

"Jadi, kita perlu memikirkan cara atau corak serangan kita selain memikirkan kesemua (pemain) pasukan Thailand," jelas pengendali berusia 44 tahun itu.

Pada masa sama, Kim Swee turut meminta pemainnya supaya mengenepikan beberapa faktor sampingan pada pertemuan genting itu, termasuk keadaan cuaca panas terik kerana perlawanan berdepan Thailand itu bakal berlangsung pada sebelah petang.

"Apabila kita turun esok, sudah tentu aspek taktikal memainkan peranan namun akhirnya bagi saya, mentaliti para pemain.

"Jika kita inginkan keputusan positif, sudah tentu kita tidak boleh fikirkan cuaca, kepenatan...kita harus tolak ke tepi perkara yang akan memberi kesan negatif kepada pasukan," kata Kim Swee yang membimbing pasukan Malaysia muncul juara edisi 2011 di Palembang, Indonesia.

Malaysia perlu menang ke atas Thailand dalam usaha menghidupkan kembali peluang layak ke peringkat separuh akhir.

Berdasarkan format kejohanan, hanya dua pasukan terbaik daripada Kumpulan A dan B layak ke separuh akhir temasya dwitahunan itu.

Untuk rekod, Malaysia menang tipis 1-0 ke atas Timor Leste pada aksi pembukaan, Sabtu lepas sebelum diaibkan 1-5 oleh Vietnam pada aksi kedua di Stadium Bishan, semalam.