Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bakal catat sejarah sebagai menteri pertama menyertai Sukan Sea apabila mengetuai pasukan Jogo Polo pada Kejohanan Polo Terbuka Malaysia di Putrajaya, bermula 16 November depan.

Khairy pernah aktif dalam sukan polo sebelum bergelar Menteri Belia dan Sukan.

Kini, peminat berpeluang menyaksikan kelibat beliau mengetuai Jogo Polo mencabar trofi Terbuka Malaysia 2015 di Taman Ekuestrian Putrajaya, bermula 16 November ini.

Apa yang menarik, beliau turut merancang membuat penampilan di Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur jika terpilih dalam skuad kebangsaan.

"Saya seperti pemain-pemain polo yang lain akan cuba, kalau layak alhamdullillah, kalau tidak layak kita kena terima sebab ini sukan berdasarkan merit" katanya.

Tahun lalu, Puteri Thailand, Sirivannavari Nariratana cipta kejutan mengetuai pasukan ekuestrian negara itu di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan.

Pada Terbuka Malaysia 2015, sebanyak enam pasukan mengesahkan penyertaan. Selain Jogo Polo, turut beraksi Ranhill, Tu Polo, La Banda, Kota Sas dan Putra Polo yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

"Tiga tahun Kejohanan Polo Terbuka Malaysia tidak diadakan, tetapi selepas tertubuhnya Putra Polo ini kita telah mengambil pendekatan untuk memulakan semula," kata Norza yang juga timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Penganjur, Datuk Fadzli Shah berkata: "kejohanan Polo Terbuka Malaysia adalah kejohanan polo bebas terbesar di Malaysia. Kita mempunyai pasukan yang mewakili Malaysia, Singapura, Afrika Selatan, Australia. Ia permulaan hebat untuk menghubungkan kembali dan membina kembali masyarakat polo."