Kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menjamin kelancaran penganjuran Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) berada pada tahap yang sangat tinggi, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar selepas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan siri latihan bagi menangani ancaman keganasan di berapa lokasi strategik menjelang temasya itu yang akan berlangsung mulai 19 Ogos depan.

"Selain di venue, kawalan keselamatan di tempat lain termasuk di sempadan negara turut dipertingkatkan dan kita bekerjasama rapat dengan pihak keselamatan bagi memastikan penganjuran temasya berjalan dengan lancar.

"Malah, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri memantau rapat segala persiapan untuk memastikan aspek keselamatan diuruskan dan dikendalikan dengan baik," katanya semasa mengulas perkembangan tahap keselamatan venue KL2017 pada sidang media di sini.

Terdahulu, beliau melancarkan lagu 'Bumi Tercinta' terbitan Aman Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengumumkan mengenai penubuhan Pasukan Petugas Khas AntiKeganasan Sukan SEA KL 2017 bagi memastikan kawalan keselamatan berada pada tahap tertinggi sepanjang temasya sukan itu.

Khairy berkata pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga diletakkan dalam keadaan bersedia dan akan digerakkan sekiranya keadaan memerlukan.

Aspek keselamatan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Keselamatan Sukan SEA yang dipengerusikan Ahmad Zahid.

-- BERNAMA