Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyokong program ‘Ride with Pride’ oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Menurut ketua pegawai eksekutif ISN, Ahmad Shapawi Ismail, pihaknya tidak menerima sebarang halangan dari KOM untuk memilih tiga atlet olahraga untuk menyertai program tersebut.

Jelas Shapawi, kesediaan KOM memberikan calon nama kepada ISN untuk menjalani ujian di peringkat awal sekaligus menunjukkan sokongan mereka bagi program mencari juara sukan berbasikal itu.

“Perkara yang paling penting ialah atlet itu tahu membuat keputusan atau tidak, selepas itu baru kita kemukakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM),” katanya kepada pemberita.

Shapawi mengulas mengenai tiga atlet olahraga yang dikenalpasti ISN untuk menyertai sukan berbasikal trek.

Antara yang dikaitkan ialah pemenang pingat emas baling tukul besi Sukan Sea 2011 Indonesia, Tan Song Hwa.

Bagaimanapun, Shapawi menegaskan ia bukan satu kewajipan kepada atlet terbabit dan ia masih dalam peringkat percubaan.

Program tersebut telah menguji 90 atlet, namun hanya tiga atlet yang berpotensi untuk jadi pelumba basikal kompetitif.

Ia merupakan inisiatif untuk menyediakan lebih ramai atlet berbasikal sebagai persediaan menghadapi temasya sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil.