SUKAN
Kontrak perlumbaan F1 Austria dilanjutkan hingga 2041

Pemandu McLaren Lando Norris dari Britain ketika beraksi dalam pusingan kelayakan di litar lumba Red Bull Ring, menjelang Grand Prix Formula Satu Austria di Spielberg, Austria, 28 Jun 2025. (Foto AP)
BERLIN: Grand Prix Austria akan kekal dalam kalendar Formula Satu (F1) hingga 2041 selepas kontraknya dilanjutkan untuk jangka panjang, menurut kenyataan F1 menjelang perlumbaan tahun ini pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Austria telah lama menjadi perlumbaan yang sangat istimewa bagi Formula Satu, jadi adalah sesuatu yang hebat apabila kami berjaya memastikan masa depan jangka panjang Grand Prix yang begitu berakar umbi dalam sejarah sukan ini," kata Presiden F1 Stefano Domenicali.
Acara ini telah muncul dalam kalendar sebanyak 37 kali, dengan perlumbaan pertama diadakan pada 1964.
Litar semasa, Red Bull Ring, pertama kali menjadi tuan rumah pada 1970.Litar itu dikeluarkan daripada kalendar perlumbaan pada 2004, tetapi pada 2010, pengasas bersama Red Bull, mendiang Dietrich Mateschitz telah melabur dalam Red Bull Ring, membiayai kerja pengubahsuaian yang menghidupkan semula litar itu dan membolehkan ia kembali dalam kalendar pada 2014.
"Visi dan semangat Dietrich Mateschitz telah memberikan perlumbaan ini pelaburan dan perhatian yang membolehkan ia kembali sebagai acara luar biasa dalam kalendar Formula Satu," kata Domenicali.
Empat pemandu dalam grid semasa juga pernah meraih kemenangan di Austria: Max Verstappen, Lewis Hamilton, Charles Leclerc dan George Russell.
Untuk perlumbaan Ahad ini, Lando Norris daripada McLaren akan bermula di petak utama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami