SHAH ALAM: Segala kos perubatan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, yang mengalami kecederaan melecur tahap empat akibat serangan asid akan ditanggung sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, jaminan itu diberikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga pengerusi kelab bola sepak berkenaan.

“Faisal Halim memang ada perlindungan insurans tapi kalau nak dapatkan perubatan terbaik, biasanya nilainya, kosnya tinggi.

“Tapi Raja Muda Selangor sendiri beri jaminan, usah khuatir kerana pihak Istana sendiri, sekiranya diperlukan, akan menanggung kos perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Tengku Amir Shah berangkat ke hospital tempat Faisal menerima rawatan pada Selasa.

Dalam pada itu, Shahril berkata Selangor FC kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan pemain pasukan tersebut.

“Bukan Faisal Halim saja tapi pemain lain juga. Kami juga menempatkan pasukan keselamatan untuk isteri Faisal Halim,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas permohonan menunda perlawanan Piala Sumbangsih 2024 pada Jumaat ini, beliau berkata Selangor FC masih belum mendapat jawapan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Malaysian Football League (MFL).

“Saya faham FAM dan MFL mungkin mengalami kesukaran untuk menunda perlawanan itu.

“Apapun, kami menerima apa-apa jawapan dan keputusan daripada FAM dan MFL,” katanya.

Tambahnya, beliau menjangkakan keputusan tersebut mungkin diberikan pada petang Rabu.

Astro AWANI pada Selasa melaporkan Selangor FC telah menghantar surat permohonan rasmi untuk menunda perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini.

Menerusi satu kenyataan, Selangor FC memaklumkan surat rasmi tersebut telah dihantar kepada FAM dan MFL.

Keputusan itu dibuat rentetan beberapa isu dan insiden yang berlaku kebelakangan ini.