KUALA LUMPUR: Pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim yang sebelum ini mengalami kecederaan melecur tahap empat akibat disimbah asid, kini ditempatkan di  lokasi rahsia bagi menjalani proses pemulihan sepenuhnya.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan keputusan untuk tidak membiarkan Faisal berehat di rumah adalah atas faktor keselamatan.

"Jadi buat masa ini di buat recovery (pemulihan) bukan di rumah, di tempat yang kelab telah tetapkan atas faktor keselamatan. Jadi kalau ada apa-apa sidang media, kemudianlah.

"Beri masa agar bila Faisal Halim sudah betul-betul bersedia (buat penampilan). Tetapi ini akan mengambil masa yang lama sedikitlah. Dia tengah go through dia punya recovery period dia sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Dalam masa sama, Shahril memberitahu pasukan perubatan bersetuju membenarkan Faisal keluar dari hospital selepas tiga minggu menjalani rawatan selepas menjadi mangsa serangan  asid pada 5 Mei lalu.

Namun begitu, Faisal perlu berulang alik ke hospital untuk proses rawatan susulan termasuk urusan cuci luka dan sebagainya.

Pemain sayap kebangsaan itu telah dibenarkan keluar dari hospital pada Sabtu selepas tiga minggu menerima rawatan akibat disimbah asid.

Selangor FC menerusi satu kenyataan memaklumkan, perkembangan positif itu susulan Faisal yang turut dikenali sebagai Mickey, telah menjalani empat pembedahan untuk merawat kecederaan lecuran tahap empat.

Berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar yang bertugas, pemulihan Faisal daripada kecederaan serius itu amat luar biasa dan melangkaui jangkaan semua pihak.