SUKAN
Kuartet 4X100m MA tutup tirai Terbuka Malaysia dengan bergaya

Kuartert 4x100 meter lelaki negara selepas muncul juara dalam acara akhir 4x100 meter lelaki pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra pada Ahad. - Foto BERNAMA
KANGAR: Kuartet 4x100 meter lelaki dan wanita Olahraga Malaysia (MA) menghadiahkan penamat manis apabila kedua-duanya dinobat juara pada hari terakhir Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, pada Ahad.
Dalam acara lelaki, gandingan berpengalaman Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa bersama pelari muda, Danish Iftikhar Muhammad Roslee serta Pengiran Aidil Auf Hajam tampil cemerlang dengan catatan masa 39.68 saat (s).
Kemenangan itu menewaskan cabaran Majlis Sukan Universiti Malaysia (40.22s) di tempat kedua, manakala satu lagi pasukan MA menamatkan saingan di tempat ketiga (40.56s).
Acara wanita pula menyaksikan skuad MA yang dibarisi ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli, Azreen Nabila Alias, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Nur Aishah Rofina Aling jauh meninggalkan lawan dengan catatan 45.58s.Pasukan Terengganu yang menjadi satu-satunya pencabar lain sekadar berpuas hati di tempat kedua dengan catatan 50.38s.
Bagi Danish Iftikhar, 18, peluang bergandingan bersama pelari berpengalaman negara menjadi pengalaman berharga buatnya untuk terus memperbaiki catatan peribadi.
"Saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk Malaysia jika ada rezeki ke Sukan SEA di Thailand, Disember ini. Untuk acara individu 100m, saya hanya ikut arahan jurulatih dan fokus kepada latihan serta pemulihan," katanya.
Sementara itu, Khairul Hafiz, 27, yakin peningkatan ditampilkan pelari muda seperti Danish dan Pengiran Aidil mampu memberi kelebihan kepada skuad negara di temasya dwitahunan serantau akan datang.
"Kita tahu sebelum ini Malaysia berjaya membawa pulang pingat di Sukan SEA. Tahun ini saya lihat junior semakin meningkat dan itu kelebihan untuk pasukan meraih pingat, insya-Allah kalau ada rezeki," katanya.
Kejohanan tiga hari yang bermula Jumaat lepas disertai 658 atlet mewakili 19 pasukan tempatan dan 10 negara termasuk Algeria, China, Jepun, Nepal, Thailand, Sri Lanka serta Filipina.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami