KEPALA BATAS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan pertemuan bersama pihak penganjur sukan permotoran, pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta Pesuruhjaya Sukan minggu hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pertemuan itu
bagi membincangkan secara terperinci isu penganjuran perlumbaan drag di litar SIC yang didakwa gagal memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sehingga dikenakan tindakan kompaun.

Reezal  Merican berkata, secara peribadinya beliau kesal dengan insiden yang berlaku dan berharap pihak penganjur akan lebih peka dalam memastikan semua penonton yang hadir mematuhi SOP yang ditetapkan.

Reezal Merican berkata insiden itu tidak sepatutnya berlaku selepas pihak KBS berhempas pulas meyakinkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan sesuatu penganjuran kejohanan atau aktiviti sukan diadakan ketika pandemik COVID-19 ini.

BACA: SIC pastikan pelanggaran SOP tidak berulang

BACA: Penganjur sukan permotoran dikompaun RM20,000 gagal patuhi SOP

Bagaimanapun beliau menghargai sikap penganjur yang sanggup tampil ke depan serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden tersebut.


"Saya mengharapkan ini sebagai satu pengajaran dan saya telah mengarah pengurusan kanan KBS untuk memanggil pihak penganjur minggu depan bersama pihak SIC dan juga Pesuruhjaya Sukan yang mengeluarkan arahan agar melihat semula, kerana saya tidak mahu insiden berulang.

"Saya hendak supaya ia diketatkan, dalam masa sama saya hendak mengajak rakyat dan penggiat sukan mari kita jaga, kita tunjuk contoh. Saya selalu mengatakan mereka yang menjadi pencinta sukan  adalah pematuhan SOP paling tinggi, kita jaga sukan kita," katanya.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata  beliau optimis insiden yang berlaku di Sepang itu sebagai kes terpencil dan ia tidak akan mempengaruhi penganjuran sukan lain buat masa ini.

Ini kerana terdapat banyak lagi penganjuran program atau aktiviti sukan lain  yang kadar pematuhan SOPnya tinggi.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas isu penganjur sukan permotoran dikompaun RM20,000 selepas gagal memastikan penjarakan fizikal ketika menganjurkan perlumbaan drag di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd. Rahman, berkata penganjur dikesan melakukan kesalahan aktiviti dengan kehadiran ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Reezal sebelum itu menyampaikan Sumbangan Ihya Ramadan kepada Masjid dan Surau dalam Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.