Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) hari ini melanjutkan tarikh tutup pendaftaran bagi acara Larian Sukan SEA 2017 yang dijadualkan pada 19 Ogos ini bagi memberi peluang orang ramai turut merasai kemeriahan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Tarikh tutup pendaftaran Larian Sukan SEA 2017, yang sebelum ini ditetapkan pada 30 Jun telah dilanjutkan sehingga 25 Julai," kata MASOC dalam satu kenyataan, hari ini.

Larian Sukan SEA dijadualkan berlangsung di laluan Putrajaya pada hari dan lokasi yang sama bagi acara maraton 42km Sukan SEA 2017 yang dijadualkan pada 19 Ogos.

Acara yang dianjurkan oleh MASOC, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) itu adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan warga asing.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MASOC Datuk Seri Zolkples Embong, tarikh tutup berkenaan dilanjutkan untuk memberi peluang peminat yang baharu kembali dari cuti panjang musim perayaan untuk turut serta merasai kemeriahan Sukan SEA nanti.

Peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah sempena larian itu, termasuk tiket penerbangan ke Gold Coast, Australia.

Zolkples berkata, laluan larian juga diubah atas sebab keselamatan dan keadaan lalu lintas.

"Atas nasihat polis dan Perbadanan Putrajaya, laluan bagi larian 15km diubah ke laluan baharu yang lebih indah dan redup serta jauh dari kesesakan lalu lintas," katanya.

Larian dibahagikan kepada dua kategori iaitu Larian Terbuka Lelaki dan Wanita sejauh 15km (bermula pukul 7 pagi) dan acara Larian Ria sejauh 5km (bermula pukul 7.30 pagi).

Pendaftaran penyertaan boleh dilakukan di pejabat Persatuan Olahraga Kuala Lumpur Wilayah Persekutuan (FTKLAA) di alamat: Tingkat 2, Wisma OCM, Jalan Hang Jebat, 50150 Kuala Lumpur atau menghubungi FTKLAA di talian 03-27152843.

Ia juga boleh dibuat menerusi emel dan pendaftaran dalam talian di [email protected] atau www.twentyfirstcenturysports.com.

Acara Larian Sukan SEA 2017, yang pertama seumpamanya dan dianjurkan bersempena acara maraton Sukan SEA ke-29 sejauh 42km, bertujuan menarik penyertaan masyarakat pelbagai lapisan dan peringkat untuk sama-sama memeriahkan temasya Sukan SEA ke-29 dari 19 hingga 30 Ogos ini.

-- BERNAMA