SUKAN
Legenda hoki negara Kevin Nunis meninggal dunia

Allahyarham yang berusia 65 tahun meninggal dunia pada jam 6.46 petang selepas beberapa bulan dirawat akibat jangkitan kuman dalam darah. - Facebook Graig Martyn Nunis
KUALA LUMPUR: Dunia sukan tanah air kehilangan seorang tokoh disegani apabila bekas pemain hoki kebangsaan dan Olimpian Muhammad Khairy Nunis Abdullah atau Kevin Christopher Nunis menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang tadi.
Allahyarham yang berusia 65 tahun meninggal dunia pada jam 6.46 petang selepas beberapa bulan dirawat akibat jangkitan kuman dalam darah.
Perkara itu disahkan anak lelakinya Muhammad Karl Iskandar Nunis yang memaklumkan jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Surau Sillaturrahim, Taman Segambut SPPK, pada oukul 8 pagi esok sebelum dikebumikan.
"Ayahanda kami telah kembali ke Rahmatullah di HKL petang tadi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.Anak jati Negeri Sembilan, Allahyarham dalah antara pemain utama skuad hoki kebangsaan era 1980-an dan pernah mewakili negara di pentas Sukan Olimpik Los Angeles 1984.
Beliau juga meninggalkan impak besar dalam dua edisi Sukan Asia iaitu di India 1982 dan Korea Selatan 1986, selain tiga kali tampil di Sukan SEA - Singapura 1983, Jakarta 1987 dan Kuala Lumpur 1989.
Selepas bersara pada 1989, Allahyarham meneruskan sumbangan terhadap sukan hoki tanah air selaku jurulatih Terengganu dan Pahang serta pernah menjadi pembantu jurulatih skuad remaja kebangsaan pada 1994.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat arena sukan negara.
"Arwah banyak berjasa mengharumkan nama negara dan beliau melalui penderitaan yang panjang akibat penyakitnya," katanya.
Sebelum ini, YAKEB dalam satu hantaran di media sosial memaklumkan Kevin dimasukkan ke HKL pada 21 Mei lalu susulan tahap kesihatannya yang merosot.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami