SELEPAS tiga kali memecah rekod kebangsaan dalam tempoh sebulan, atlet lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan lima terbaik Asia di sebalik keghairahan untuk layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.

"Dalam sasaran tahun ini, saya mahu meletakkan diri saya dalam kelompok lima terbaik dalam Asia dahulu. Sebab saya masih lagi 20 tahun, apa yang saya sasar ini adalah tahap ke tahap. Kalau layak ke Olimpik, Alhamdullillah. Kalau tak, bukan rezeki saya," katanya.

Selepas mencatat 58.04 meter di saingan Terbuka Malaysia, Mac tahun lalu, Irfan terus cemerlang memecah rekod kebangsaan.

Pada Kejohanan Olahraga tempatan di Kolo, Poland dia berjaya mencatat 59.29 meter, kurang 5 meter berbanding had kelayakan ke Sukan Olimpik Rio, 65 meter.

Walau apapun, peningkatan ini memberi petanda sangat positif buat Irfan yang baru berusia 20 tahun ini.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan peningkatan lemparan saya. Masa latihan, saya sering dapat 60 meter keatas. Saya kini hanya perlukan latihan seperti kejohanan. Itu yang saya perlukan sekarang," tambahnya.