SUKAN
Lesu upaya: Ancaman senyap ragut bakat muda

Mohd Manshahar berkata lesu upaya dalam kalangan atlet muda berpunca daripada tekanan luar biasa untuk mencapai kejayaan pada usia muda serta latihan yang tidak seiring dengan perkembangan fizikal dan mental. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Disangka panas hingga petang, rupanya hujan di tengah hari.
Ringkasan AI
- Ramai atlet muda, di dalam dan luar negara, mengalami sindrom lesu upaya (burnout) akibat latihan berlebihan, tekanan tinggi dan kegagalan mengimbangi kehidupan, sehingga hilang minat dan meninggalkan sukan awal.
- Kajian dan pengalaman jurulatih menunjukkan hanya sebahagian kecil atlet remaja mampu kekal ke peringkat elit kerana tekanan melampau, latihan tidak sesuai dengan umur, serta pengkhususan terlalu awal yang meningkatkan risiko kecederaan.
- Pakar menegaskan keperluan sistem pembangunan sukan lebih mampan, dengan latihan berperingkat serta sokongan seimbang daripada jurulatih dan ibu bapa, bagi memastikan atlet muda bertahan hingga mencapai puncak prestasi antarabangsa.
Laporan diterbitkan American Academy of Pediatrics (AAP) menerusi jurnal Pediatrics tahun lepas, turut mengaitkan masalah berkenaan dengan kecederaan berulang, latihan keterlaluan dan tekanan psikologi yang akhirnya memadamkan minat membara.
Situasi di Malaysia mungkin tidak jauh beza. Meskipun tiada statistik rasmi, hakikatnya gejala ini dapat dilihat saban tahun iaitu realiti yang cukup membimbangkan buat jurulatih, ibu bapa dan penggiat sukan yang mahu melahirkan pelapis negara.
Jurulatih olahraga berpengalaman Mohd Manshahar Abdul Jalil menyifatkan sindrom lesu upaya sebagai "musuh senyap" yang telah meragut terlalu banyak bakat muda negara.
"Saya telah mengkaji rekod atlet (olahraga) dari Majlis Sukan Sukan Malaysia (MSSM) sejak 2012 hingga 2022. Hanya sekitar lima peratus daripada mereka yang masih aktif di peringkat elit selepas 10 tahun.
"Sepatutnya, apabila mereka mencapai tahap matang, mereka beraksi pada tahap tertinggi. Namun, ramai terhenti di satu titik, tidak mencapai potensi mereka," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Manshahar berkata lesu upaya dalam kalangan atlet muda berpunca daripada tekanan luar biasa untuk mencapai kejayaan pada usia muda serta latihan yang tidak seiring dengan perkembangan fizikal dan mental.
"Ramai atlet remaja dipaksa untuk berlatih secara intensif sejak usia muda, tetapi mereka akhirnya mengalami kemerosotan prestasi sebelum mencapai kemuncak potensi sebenar mereka," katanya.
Mohd Manshahar turut menegaskan bahawa latihan terlalu spesifik sejak usia muda atau early specialisation, menjadi antara faktor utama menyumbang kepada keletihan mental dan fizikal selain meningkatkan risiko kecederaan jangka panjang.
Menurut beliau, tekanan berlebihan daripada jurulatih dan ibu bapa hanya memburukkan lagi keadaan sehingga bakat muda gagal berkembang secara sihat.
"Di peringkat MSSM misalnya, jurulatih dan pegawai sukan sering tertekan dengan KPI (Indeks Prestasi Utama) yang perlu dicapai. Mereka mahu keputusan segera untuk memastikan lebih banyak pingat dimenangi.
"Kesan jangka panjang kepada atlet itu sendiri jarang dipertimbangkan. Apabila terlalu didesak untuk menang, mereka akhirnya hilang motivasi atau mengalami kecederaan serius," katanya.
Bagi memastikan lebih ramai atlet muda dapat bertahan hingga peringkat senior dan antarabangsa, Mohd Manshahar menyeru semua pihak, termasuk ibu bapa, jurulatih dan kelab sukan, untuk lebih memahami prinsip latihan yang betul dan bersesuaian dengan peringkat umur atlet.
"Kita perlu ubah mentaliti bahawa kejayaan boleh dicapai dalam tempoh singkat. Atlet yang berjaya bukan dilahirkan dalam masa dua atau tiga tahun, tetapi melalui latihan konsisten selama lebih 10 tahun.
"Jika kita mahu menghasilkan lebih ramai atlet bertaraf dunia, kita perlu memastikan sistem pembangunan sukan kita lebih mampan dan tidak terlalu menekan atlet muda hingga menyebabkan mereka keletihan sebelum sempat mencapai puncak prestasi mereka," katanya.
Pandangan itu disokong bekas Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan (SITC) Dan Pensyarah Kanan Sains Sukan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Hadafi Fitri Mohd Latip yang menyifatkan fenomena lesu upaya semakin ketara dalam kalangan atlet muda.
Beliau berkata gejala berkenaan berpunca daripada tekanan melampau serta beban latihan berlebihan yang bukan sahaja menjejaskan prestasi malah berpotensi memendekkan jangkat hayat kerjaya atlet.
"Burnout ialah keletihan fizikal, mental dan emosi berpunca daripada tekanan berpanjangan atau latihan terlalu intensif. Ia bukan hanya menjejaskan prestasi, malah boleh menyebabkan atlet hilang minat dan akhirnya meninggalkan sukan sepenuhnya," katanya.
Menurut beliau dalam konteks sukan, gejala lesu upaya sering dikaitkan dengan sindrom latihan berlebihan atau overtraining syndrome, iaitu keadaan tubuh dan minda atlet tidak lagi mampu menampung beban latihan berterusan tanpa pemulihan yang cukup.
"Ramai atlet muda cemerlang di peringkat awal, tetapi apabila memasuki usia remaja, mereka semakin hilang daya saing kerana beban latihan yang tidak seimbang. Ini menyebabkan ramai bersara lebih awal sebelum mencapai potensi sebenar," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami