JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara dunia dalam acara perseorangan lelaki SU5 selepas menewaskan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi pada Kejohanan Badminton Para Dunia 2024.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Pattaya, Thailand pada Ahad, pemain ranking nombor satu dunia itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 21-15,16-21 dan 21-15.

Lebih manis, ia merupakan gelaran dunia kelapan buat Liek Hou dalam acara perseorangan selepas turut memenanginya ketika beraksi pada edisi 2005, 2007, 2011, 2013, 2015, 2017 dan 2022.

Pemain berusia 35 tahun itu bukan sahaja membuktikan reputasinya dalam acara perseorangan, malah dia turut menebus kehampaan pada edisi 2022 di Tokyo, Jepun apabila memahat nama sebagai juara dunia menerusi acara beregu lelaki SU5 bersama Muhammad Fareez Anuar.

Gandingannya bersama Muhammad Fareez berjaya mengalahkan lawan dari India menerusi kemenangan straight set 21-17 dan 21-18.

Ia juga menjadi gelaran dunia keenam buat Liek Hou dalam acara beregu lelaki.

Secara keseluruhan, Liek Hou melakar 14 kejuaraan dunia menerusi acara perseorangan dan beregu sekali gus meletakkan dirinya antara atlet Malaysia paling berjaya di pentas antarabangsa. - Sinar Harian