CARLO ANCELOTTI memuji Karim Benzema sebagai "pemimpin yang hebat" buat kelab Sepanyol, Real Madrid selepas melakar hatrik cukup sensasi sekali gus menyingkirkan Paris Saint-Germain daripada Liga Juara-Juara (UCL) Rabu.

PSG selangkah untuk ke suku akhir apabila Kylian Mbappe meletakkan mereka dengan agregat 2-0 pada lewat separuh masa pertama.

Los Blancos bangkit pada babak kedua, hasil hatrik Benzema meriuhkan suasana di Bernabeu.

Ia menyaksikan dia menjadi penjaring hatrik tertua dalam sejarah Liga Juara-Juara (UCL) (berusia 34 tahun dan 80 hari), 17 hari lebih tua daripada Olivier Giroud pada Disember 2020 untuk Chelsea menentang Sevilla.

Tiga gol itu juga menyaksikan dia memintas Alfredo Di Stefano ke tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Real (309).

Ancelotti penuh dengan pujian untuk penyerang itu apabila Real membalikkan defisit pada perlawanan pertama dalam perlawanan kalah mati Liga Juara-Juara buat kali keempat sahaja.

"Karim Benzema adalah pemimpin yang hebat, penyerang tengah yang hebat," katanya.

"Saya sangat gembira dengan apa yang dia lakukan dan sikapnya.

"Selepas gol pertama, kami masuk ke dalam dinamik yang baik, kami menekan dan mengawal bola dengan lebih baik. Kami mengalami lebih sedikit kesukaran pada separuh masa kedua berbanding babak pertama.

"Pada separuh masa, kami berkata kepada diri sendiri bahawa kami perlu kekal dalam permainan, walaupun ia sukar, memikirkan sesuatu boleh berlaku.

"PSG adalah pasukan yang hebat dengan pemain yang hebat, tetapi itulah bola sepak, setiap perkara kecil boleh mengubah segala-galanya seperti gol pertama itu."