Kuala Lumpur gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk merapatkan jurang dengan pesaing terdekatnya, DRB Hicom FC, apabila terikat tanpa jaringan pada satu-satunya aksi Liga Perdana, semalam.

Skuad 'The Hawks' yang telah mengalami empat kekalahan berturut-turut sebelum ini hanya sekadar berkongsi satu mata bersama pasukan berstatus kelab itu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan sehingga wisel penamat kerana tidak mampu menyempurnakan peluang-peluang keemasan di hadapan gawang gol lawan masing-masing.

Kuala Lumpur mendapat peluang untuk membuka jaringan pada minit ke-25 menerusi pemain import Lee Jin-Seuk namun diselamatkan oleh penjaga gawang pasukan pelawat Mohd Jibrail Kamaron, manakala cubaan Pritam Singh pada minit ke-49 pula terkena palang selepas melepasi penjaga gol.

Pasukan DRB Hicom kekal di kedudukan kesembilan liga dengan 16 mata diikuti oleh Kuala Lumpur di tempat ke-10 dengan 12 mata, lebih empat mata berbanding pencabar terdekat, Kuantan FA, yang berada di zon penyingkiran.

Kuala Lumpur seterusnya akan menghadapi saingan sengit dari pasukan Pulau Pinang di Stadium Merdeka pada 31 Julai ini, pada aksi pertama selepas rehat sempema Aidilfitri, manakala DRB Hicom pula akan menentang pesaing terdekatnya, UiTM FC di Stadium Hang Jebat Melaka.