KETUA jurulatih Kedah Darul Aman, Aidil Sharin Sahak, mahu mengekalkan momentum kemenangan sambil tidak mengambil mudah cabaran yang bakal dijelmakan Selangor yang dianggap mempunyai motivasi terbaik selepas menundukkan Sabah di laman lawan.

"Persediaan Alhamdulillah masih sama.

"Kami baru berpatah balik daripada perlawanan dengan Melaka United, kami hanya ada masa dua hari untuk buat persiapan jadi tidak banyak yang boleh dilakukan.

"Kami cuba elak kesilapan yang sama ketika bertemu Melaka. Alhamdulillah kami tidak dibolosi sejak dua perlawanan lalu.

"Ia bagus untuk pasukan selepas lama tidak merekodkannya jadi moral pasukan untuk bertemu Selangor sangat bagus.

"Sesetengah pemain masih ada kecederaan ringan dan tidak cergas 100 peratus tapi esok mereka dijangka kembali kecuali Ifwat Akmal Che Kassim yang perlu diketepikan terus.

"Selain daripada itu, pemain-pemain lain kembali menjalani latihan. Ia amat penting kerana kami tidak dapat menurunkan lima pemain import sejak perlawanan pertama musim ini.

"Malam esok mungkin kali pertama kami dapat mengetengahkan kesemua mereka," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, di Alor Setar petang semalam.

Pemain import skuad Lang Merah musim ini terdiri daripada Marc Vales (Andorra), Mahmoud Al-Mardi (Jordan), Ronald Ngah (Cameroon), Dechi Marcel (Ivory Coast), Sanrawat Dechmitr (Thailand).

Dalam masa sama, pengendali kelahiran Singapura itu mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki walaupun menang selesa 3-0 ke atas Melaka United.

"Saya perlu akui Melaka tidak dapat menurunkan pemain terbaik. Apa pun, kami masih perlu berjuang untuk merebut tiga mata.

"Bukan mudah buat pemain yang cuba memenangi kontrak baru tahun depan dan kami perlu positif.

"Kami perlu berwaspada dengan Selangor yang mencipta kemenangan 3-2 ke atas Sabah kerana bukan mudah untuk beraksi di tempat lawan.

"Kami perlu kunci pemain seperti Caion, Mukhairi (Ajmal) dan pemain import mereka dari Myanmar, Hein Htet Aung. Mereka cukup bagus ketika menyerang.

"Harap esok pertahanan kami perlu kompak, tidak boleh leka terutama di kawasan kotak penalti," katanya.