KUALA LUMPUR: Magis penyerang sensasi dari Argentina Fernando Forestieri, sekali lagi membantu juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih kejayaan penting, apabila mengatasi tuan rumah Sabah FC 2-1 pada perlawanan tertunda Liga Super, malam tadi.

Pada aksi sengit di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu, Forestieri muncul wira pasukan selepas meledak jaringan kemenangan menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan babak kedua, yang menewaskan bekas penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat.

Ia merupakan jaringan peribadi kedua pemain berusia 32 tahun itu, selepas beliau dengan tenang menyudahkan hantaran leret rakan sepasukan Arif Aiman Mohd Hanapi untuk gol penyamaan JDT pada minit ke-26, sekali gus menafikan kelebihan jaringan awal Sabah oleh Park Tae-su pada minit ke-19.

Sebelum ini, bekas pemain kelab Itali Udinese yang menyertai skuad Harimau Selatan musim ini itu, turut menjadi penyelamat JDT apabila sepakan percumanya pada masa kecederaan babak kedua memastikan pasukan mencatat kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan, Mei lepas.

JDT kini selesa di persada liga mengumpul 26 mata selepas 10 perlawanan sementara Sabah yang telah mengharungi 11 aksi liga, kekal di kedudukan kedua dengan 22 mata manakala Negeri Sembilan ketiga dengan 20 mata selepas 12 perlawanan.

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan kedua berturut-turut ketika berdepan antara pasukan gergasi selepas menundukkan naib juara musim lalu, Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus.

Beraksi di hadapan lebih enam ribu penonton, pasukan tuan rumah yang masih segar dengan kemenangan ke atas Sri Pahang FC dalam aksi terdahulu, membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi penyerang import kelahiran Liberia Kpah Sherman.

Gol awal tersebut membangkitkan semangat tuan rumah untuk terus menggandakan asakan dan berjaya mencipta dua peluang keemasan pada babak pertama, namun percubaan gagal diterjemahkan ke bentuk jaringan, disebabkan ketumpulan penyudah bahagian serangan.

Kedah yang melakukan serangan balas hampir mencipta gol penyamaan pada minit ke-36, namun sayangnya rembatan jarak jauh Muhammad Ariff Farhan Md Isa, hanya menggegar palang.

Di babak kedua, skuad bimbingan Mohd Nafuzi Mohd Zain tidak menunggu lama untuk mencetak gol kedua selepas pemain import kacukan Jerman-Filipina Manuel Ott, melakukan rembatan daripada luar kotak penalti pada minit ke-56.

Kedah yang tidak berputus asa berjaya menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-91 menerusi pemain gantian, Azzamuddin Akil.

Kemenangan itu membolehkan TFC memintas Kedah di kedudukan keempat, selepas mengumpul 16 mata sementara skuad Sang Kenari yang kekurangan dua mata di tempat kelima.

-- BERNAMA