Liga Super: Selangor, Kuching City manfaat aksi di laman sendiri

Pemain Selangor FC Faisal Halim (kanan) mengawal bola ketika diasak Pemain Kelantan TRW Lyngbo Simen Alexander pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya malam tadi. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Selangor FC merakam kemenangan kedua berturut-turut buat kali pertamanya musim ini, untuk terus mengekalkan cabaran dalam saingan Liga Super selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC, 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Ringkasan AI
- Selangor FC menang 2-0 ke atas Kelantan TRW FC, mengekalkan cabaran dalam Liga Super dengan kemenangan kedua berturut-turut.
- Kemenangan Kuching City FC 1-0 ke atas DPMM FC bantu mereka naik ke tangga kedua Liga, sementara DPMM FC alami kekecewaan dengan gol ditolak VAR dan kad merah.
- Negeri Sembilan FC seri 1-1 dengan Terengganu FC selepas gol penyamaan pada masa tambahan, sedangkan Terengganu FC bermain dengan 10 pemain selepas kad merah.
Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan pengendali sementara Christophe Gamel naik ke tangga keempat Liga Super dengan mengumpul 16 mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta'zim (30 mata) diikuti Kuching City dan Kuala Lumpur City FC yang berkongsi 20 mata di tempat kedua dan ketiga.
Di KUCHING, Kuching City FC meraih kemenangan penting untuk naik ke tangga kedua liga selepas menewaskan DPMM FC 1-0 pada pertembungan di Stadium Negeri Sarawak.
Aksi babak pertama pertembungan "Borneo Derby" itu menyaksikan permainan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan, namun buntu menemui jaringan.
Bersambung babak kedua perlawanan, tuan rumah terus mengasak kubu pelawat sebelum akhirnya menjaringkan gol kemenangan menerusi Ramadhan Saifullah pada minit ke-69.
Pada penghujung perlawanan, permainan menjadi "panas" apabila jaringan pemain DPMM FC Prosper Boakye pada masa tambahan separuh masa kedua (minit 90+1) dibatalkan, hasil semakan video bantuan pengadil (VAR).
Skuad pelawat terus dilanda malang apabila Fairuz Zakaria dikenakan kad merah apabila mengasari Scott Philip Galang Woods di penghujung masa tambahan separuh masa kedua.
Terdahulu, Di SEREMBAN, Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila seri 1-1 ketika menentang Terengganu FC (TFC), yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Pasukan pelawat menerima tamparan awal apabila Kyaw Min Oo dilayangkan kad merah kerana mengasari Jovan Motika di luar kotak penalti pada minit ke-15 sebelum NSFC berjaya memecah kebuntuan menerusi gol jarak jauh Luqman Hakim Shamsuddin pasa masa tambahan separuh masa pertama.
Bagaimanapun, kelekaan di hujung perlawanan membawa padah buat pasukan tuan rumah Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili meledak gol penyamaan pada masa tambahan sekali gus menafikan tiga mata NSFC.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


