Lionel Messi siap-sedia untuk bersara daripada bola sepak antarabanga berikutan kekalahan Argentina kepada Chile dalam final Copa America 2016.

Buat tahun ketiga berturut-turut, Argentina terkandas dalam final sebuah kejohanan utama berikutan kekalahan dalam Piala Dunia 2014 dan Copa America 2015.

Bagi Messi, ia adalah kekalahan keempatnya dalam final sesebuah kejohanan – sesudah beraksi dalam kekalahan Copa America 2007 kepada Brazil – dengan Argentina masih kemarau trofi utama selama 23 tahun.

MESTI BACA: Chile pertahan gelaran, Messi tersasar

Bintang Barcelona itu mengakui final di Stadium MetLife itu hampir pasti adalah yang terakhir buatnya ketika menyarung jersi Argentina.

"Keputusan itu sudah pun dibuat. Setakat itulah," kata Messi.

"Saya sudah banyak mencuba. Ini adalah apa yang saya rasakan sekarang. Saya sangat sedih ini berlaku lagi.

"Saya terlepas sepakan penalti saya. Ia sangat penting. Cukuplah."

(AP Photo/Julie Jacobson)

Messi, 29, yang baru-baru ini memecahkan rekod jaringan terbanyak pasukan kebangsaannya dengan gol antarabangsanya yang ke-55, menambah: “Saya memikirkannya dalam
bilik persalinan. Bahawa ini adalah yang terakhir buat saya dalam pasukan kebangsaan.

“Ia sudah empat final dan ia bukan untuk saya. Malangnya, kami mencuba, saya mencuba tapi cukuplah.

“Ia adalah untuk kebaikan semua orang. Kami tidak berpuas hati dengan hanya layak ke final dan tidak memenanginya.

“Saya sudah banyak mencuba untuk menjadi juara bersama Argentina. Ia tidak berlaku, saya tidak mampu melakukannya.”