LONDON: Seorang lelaki Rwanda yang menetap di utara London menjadi individu pertama didakwa di United Kingdom (UK) atas kesalahan berkaitan genosid Rwanda 1994, menurut Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS).
Dr Vincent Brown, yang sebelum ini dikenali sebagai Dr Vincent Bajinya, 65, didakwa atas satu pertuduhan bersubahat dalam jenayah genosid dan enam pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan yang diklasifikasikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
Ketua Bahagian Jenayah Khas dan Keganasan CPS, Frank Ferguson, berkata Brown didakwa mengarah dan menghasut pihak lain untuk melakukan pembunuhan serta tindakan genosid.
Beliau dijadualkan hadir di Mahkamah Majistret Westminster pada Selasa.
Menurut Ferguson, keputusan mendakwa Brown dibuat selepas CPS meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Unit Jenayah Perang Polis Metropolitan London.
Siasatan tersebut bermula pada September 2019 susulan permintaan rasmi kerajaan Rwanda agar pihak berkuasa Britain menyiasat individu yang disyaki terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai di daerah Rugenge, Kigali, pada April 1994.
Polis Metropolitan menyifatkan pertuduhan terhadap Brown sebagai hasil siasatan yang rumit dan menyeluruh selama tujuh tahun.
Sepanjang tempoh kira-kira 100 hari pada 1994, dianggarkan 800,000 etnik Tutsi dan Hutu sederhana dibunuh oleh pelampau Hutu dalam salah satu tragedi kemanusiaan terburuk abad ke-20.
Mangsa terdiri daripada anggota komuniti minoriti Tutsi serta lawan politik pelampau Hutu tanpa mengira latar belakang etnik mereka.
Pasukan yang didominasi Tutsi dan mengambil alih kuasa selepas genosid itu turut dituduh membunuh ribuan etnik Hutu sebagai tindakan balas.
Ketua Polis Anti-Keganasan London, Komander Helen Flanagan, berkata kes tersebut membuktikan UK bukan tempat perlindungan selamat bagi individu yang disyaki terlibat dalam jenayah antarabangsa.
Beliau menegaskan Unit Jenayah Perang komited memastikan mereka yang disyaki terbabit dalam genosid dan jenayah kekejaman lain dipertanggungjawabkan mengikut proses perundangan.
Menurutnya, beberapa siasatan lain terhadap individu di UK yang disyaki mempunyai kaitan dengan genosid Rwanda masih diteruskan.