JULEN Lopetegui dan Sergio Ramos menolak untuk menghamburkan sebarang pujian selepas Real Madrid mencatat keputusan seri 1-1 ketika berdepan Athletic Bilbao di tempat lawan.

Skuad kendalian Lopetegui itu mencicirkan mata buat kali pertama musim ini selepas tandukan Isco memadamkan gol pendahuluan Iker Muniain di San Mames.

Sebelum itu, Barcelona juga dipaksa untuk bangkit tetapi akhirnya mencapai kemenangan apabila menundukkan Real Sociedad 2-1, sekali gus meletakkan juara bertahan itu dua mata mengatasi Los Blancos.

Namun, Lopetegui, yang terlepas peluang untuk bergelar pengurus Madrid pertama yang mencatat kemenangan berturut-turut dalam empat aksi pertama liga sejak Manuel Pellegrini melakukannya ketika musim 2009/10, jelas tidak gembira dengan keputusan seri itu.

"Sukar untuk beraksi di sini," kata Lopetegui.

"Athletic adalah pasukan yang menunggu kehadiran anda untuk memberikan tekanan. Kami meningkat dalam babak kedua.

"Madrid tidak pernah menganggap seri adalah keputusan yang bagus. Kami bermain dengan baik selepas rehat dan harus terus berusaha."

Bagi kapten pasukan, Ramos, dia turut bersetuju dengan pendapat Lopetegui tetapi mengakui pasukannya berdepan kesukaran ketika menentang Athletic.

"Kami harus sentiasa memberikan sumbangan maksimum untuk kelab ini," ujar Ramos.

"Kami tidak melihat seri sebagai sesuatu yang bagus kerana ia bukan begitu. Banyak perkara yang perlu ditingkatkan.

"Kami tahu ia adalah salah satu stadium yang sukar untuk beraksi kerana penyokong mereka begitu bersemangat, namun Athletic adalah sebuah pasukan yang tahu apa yang perlu dimainkan.

"Sukar untuk mengatasi mereka dan mencipta peluang, kemudian kami bangkit dalam babak kedua dan meraih keputusan seri," tambahnya.