Barisan pelumba baru menjadi taruhan pasukan Androni-Venezuela untuk menempa nama pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTDL).

Turun dengan status juara bertahan, pasukan itu tidak menampilkan pelumba pilihan utama bagi edisi ke-18 tahun ini.

Menurut pengurus pasukan Gianni Savio, Androni-Venezuela akan mencuba sesuatu yang baru bagi jelajah kali ini.

Tambah Savio lagi, pasukan itu akan memberi peluang kepada dua pelumba muda dari Itali Diego Rosa dan Patrick Facchini.

Turut tersenarai dalam pasukan itu adalah seorang lagi pelumba Itali Omar Bertazzo dan Trio Venezuela Carlos Jose Ochoa, Jackson Rodriguez dan Tomas Aurelio Gil Martinez.

Untuk rekod, Androni-Venezuela muncul pasukan terbaik LTDL sebanyak lima kali iaitu pada 2003, 2006, 2008, 2009 dan 2012.

Selain itu, lima pelumba pasukan itu pernah muncul juara individu keseluruhan. Antaranya Hernan Dario Munoz, Freddy Gonzalez dan Jose Serpa.