Luqman Hakim dipanggil semula sertai Harimau Malaya, ganti Jordan Mintah

Kali terakhir Luqman Hakim (gambar) menyarung jersi pasukan kebangsaan adalah ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain penyerang Negeri Sembilan FC Luqman Hakim Shamsudin dipanggil semula menyertai kem latihan Harimau Malaya menjelang aksi menentang Nepal pada perlawanan kelima Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 18 Nov ini.
Ringkasan AI
- Luqman Hakim Shamsudin dipanggil semula menyertai kem latihan Harimau Malaya gantikan Jordan Mintah yang cedera.
- Harimau Malaya pimpin kumpulan selepas empat kemenangan berturut-turut, termasuk menang 4-0 ke atas Vietnam.
- Malaysia akan beraksi menentang Nepal dalam aksi timbal balik pada 18 Nov selepas menang 2-0 pada perlawanan pertama.
Kali terakhir pemain berusia 23 tahun itu menyarung jersi pasukan kebangsaan adalah ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022.
Skuad Harimau Malaya memulakan kem latihan pusat pada Isnin hingga 17 Nov sebagai persediaan menghadapi Nepal pada aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Malaysia menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Mac lepas.
Pasukan bimbingan Peter Cklamovski kini selesa mendahului kumpulan dengan rekod sempurna selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut, termasuk menewaskan pencabar terdekat Vietnam 4-0 pada Jun lepas.
Ketika ini, Malaysia kekal dengan 12 mata, diikuti Vietnam (9 mata), Laos (3 mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.
Hanya juara kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi bermula Januari 2027.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


