KUALA LUMPUR: Tiada apa yang dapat menggambarkan perasaan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selain terlalu gembira dengan kejayaan skuad Harimau Malaya mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia seumpama memenangi Piala Dunia, malam tadi.

"Perasaan seri 3-3 dengan Korea ni macam kita baru menang Piala Dunia," kata beliau dalam hantaran di laman Facebook miliknya.

Skuad negara menampilkan persembahan luar biasa malam tadi mengikat pasukan Korea Selatan yang
berada di ranking ke-23 dunia dalam aksi di Stadium Al Janoub di Doha, Qatar.


Hannah turut menyifatkan keputusan tersebut sebagai hadiah amat bermakna buat penyokong Harimau Malaya selepas kegagalan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik di Piala Asia.

Dalam masa sama, Hannah menegaskan, usaha untuk memastikan skuad bola sepak negara menjadi lebih digeruni tidak akan terhenti.

"Esok kerja akan bermula semula. Malaysia akan kembali ke Piala Asia akan datang!

"Keputusan seri menentang Korea ini merupakan hadiah terbesar kepada peminat Harimau Malaya di Qatar dan seluruh Malaysia.

"Apabila kita meletakkan hati dan jiwa ke dalam semua yang kita lakukan, dunia akan melihatnya.

"Kim Pan Gon - anda hebat! Datuk Hamidin FAM - Tahniah Persatuan Bola Sepak Malaysia!," kata beliau lagi.